Sunday, November 14, 2010

Sebelum menyesal atas kehilangan......

Pajam celik pajam celik, sudah dekat 5 kali saya menyambut raya Qurban, pada mulanya ingat tahun ni nak sambut raya Qurban di Rantau Panjang, Klang, Selangor sahaja (rumah keluarga angkat-Pakcik Haji Bostammi), lagi pun cuti pertengahan semester bukanlah panjang sangat tetapi keputusan muktamad nak juga balik ke Pulau Pinang. Tetapi sebelum balik ke Pulau Pinang, saya buat keputusan nak ziarah dulu keluarga Pakcik Bostammi kerana raya Aidilfitri baru ni tak sempat saya nak ziarah mereka sekeluarga. Ukhwah sebagai jiran, kawan wajib dijaga apatah lagi saudara se-Islam kita, Firman Allah s.w.t dalam surah An-Nisa' :"......Dan berbuat baiklah kepada dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang dekat dan jiran yang jauh, teman sejawat, orang yang bermusafir dan hamba sehayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri." Allah pertemukan kita dengan manusia di sekeliling kita supaya kita menjalinkan hubungan semasa manusia supaya berbaik buat kepada setiap insan yang berada di sisi kita. Apakah kita tahu bila maut akan datang menjemput kita dan kemudian baru kita mula menyesal apabila kehilangan seseorang di sisi kita, apakah selepas dia telah pergi baru kita nak puji kelebihan dia sedangkan kita jarang ziarah-menziarah antara satu sama lain. Apakah bila meninggal baru kita meratap menangis di atas mayat mereka ke, itu amat di larang dalam Islam kerana pada diri saya kalau kita menjalinkan hubungan baik dengan setiap insan di sisi kita tidak ada lagi penyesalan apabila seseorang itu meninggal dunia, bahkan kita harus bersyukur kerana Allah ambil nyawa orang di sisi kita adalah Allah lebih menyayangi mereka dan kita harus redhai dengan pemergian mereka.
Sejak memeluk Islam, antara nikmat-nikmat yang Allah kurnia saya amat bersyukur sangat-sangat, yang saya nak berkongsi di sini ialah hubungan saya dengan ayah saya bertambah rapat. Semasa saya menjejakkan kaki ke peringkat sekolah menengah pada tahun 1989, dalam ingatan saya tak pernah lagi saya makan semeja bersama ayah saya sehingga mula tahun 2007 (lebih kurang 18 tahun)...... MasyaAllah, inikah tanggungjawab dan balasan sebagai seorang anak yang dibesarkan oleh seorang ayah yang kerja tak pernah sungut sepatah letih pun untuk sepenuh hati membesarkan anak supaya jadi orang yang berjaya di masa akan datang. "Ya Allah terimalah taubatku kerana aku telah menzalimi serta menderhaka pada ibu bapaku yang membela aku sejak besar tapak tangan lagi, jadikan lah aku umat yang bertakwa pada Engkau serta jadikan aku seorang anak yang soleh". Setiap kali teringat situasi begitu saya rasa sebak dan amat bersalah kerana saya pernah jadi seorang anak yang durhaka pada ibu bapa sendiri. Alhamdulillah, mula tahun 2007 saya mula berubah persepsi saya terhadap ayah yang selama ini saya rasa dia hanya sayang pada adik saya sahaja (kami 2 beradik saja saya yang sulung). Saya cuba buang ego saya untuk mencari arah supaya Allah dapat kembalikan kasih sayang bersama ayah saya. Syukur pada Allah, pada pertengahan 2008 rahsia saya meluk Islam telah terbongkar (ibu bapa menerima dengan tenang tanpa apa-apa bantahan) di situlah saya mula mengajak ayah makan sama-sama, bersembang dengan dia, setiap kali cuba cari topik untuk berkomunikasi. Pada peringkat awal saya berasa kekok sangat kerana jurang saya dengan ayah yang saya dirikan ini terlampau besar, tetapi Allah selalu mendengar doaku sekarang saya dengan ayah boleh bersembang apa-apa topik sahaja apabila duduk bersama-sama di ruang tamu, kerap saya menelefon dia berbanding dulu saya hanya telefon mak saya sahaja.
Pada satu hari saya nak bertolak ke Johor Bahru untuk hadiri temuduga oleh seorang pensyarah yang sedang buat PHD untuk tesis, sebelum keluar rumah itulah kali pertama saya salam dan cium tangan ayah saya, saya berasa betapa besarnya nikmat yang Allah kurniakan padaku, amat puas dan syukur pada Allah Yang Maha Penyayang (mahu tak rasa puas kerana dah berapa tahun tak sembang dengan ayah apatah lagi cium tangan dan salam-lagipun budaya cina jarang didik anak-anak untuk salam-salaman). Jadi kali ini raya Qurban saya ambil keputusan untuk balik ke Penang walaupun keluargaku belum lagi Islam sekurang-kurangnya saya dapat menemani mereka dan moga hidayah juga turut sampai pada mereka, cadangan awal tak nak balik kerana rasa cuti tak panjang dan takut bazir duit, tapi akhirnya sebab tahun baru cina (3 & 4 Februari 2011) nanti saya tak sempat nak balik kerana nak buat persediaan peperiksaan akhir semester 2 mula 8 Februari 2011, lagipun kalau duit tak cukup nanti boleh lah saya banyak puasa sunat nanti selepas balik dari cuti pertengahan semester ini.
Ayat 36 surah An-Nisa' banyak mengingatkan saya, supaya saya jalinkan hubungan baik dengan ibu bapa, saudara mara, jiran, kawan dan pada setiap insan, serta moga hidup kita tidak ada penyesalan (penyesalan pada kesilapan yang sengaja kita lakukan) apa-apa bila orang di sisi kita meninggalkan kita......Apakah kalian semua nak menyesal sedangkan kamu tidak tunaikan yang wajib walaupun kamu dah tahu itu kewajipan kamu?

No comments:

Post a Comment

Memori Konvo ILDAS 3/2010

Memori Konvo ILDAS 3/2010
Wah Ramainya......Pelajar Baru 7 je, carilah dimana saya.......